Semua artikelDalam Media · 18 Apr 2026

Ditulis oleh: Suara.TV

Pernas dan Glocal Travel jalin kerjasama bangunkan francais pelancongan Islam

Pernas dan Glocal Travel jalin kerjasama bangunkan francais pelancongan Islam

Dalam usaha memperkukuh kedudukan dalam industri pelancongan Islam yang semakin kompetitif, Glocal Travel & Tours Sdn Bhd (Glocal Travel) hari ini mengorak langkah strategik apabila menganjurkan Majlis Pelancaran Awal Pra-Francais, sekali gus menandakan peralihan syarikat ke arah model perniagaan francais yang lebih sistematik, telus dan berdaya tahan.

Majlis tersebut bukan sahaja menjadi simbolik kepada transformasi perniagaan Glocal Travel, malah turut mendapat sokongan padu daripada agensi kerajaan apabila dihadiri Pengerusi Perbadanan Nasional Berhad (Pernas), Datuk Mohamed Rozhan Mohd Ghazalli dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Nor Azam M. Taib.

Ketua Pegawai Eksekutif Glocal Travel & Tours, Dato' Hj Md Idzham bin Hj Isa, menegaskan bahawa pelancaran ini masih berada di peringkat awal dan bertujuan memberi pendedahan kepada umum mengenai hala tuju syarikat sebelum pelaksanaan penuh model francais.

"Pada peringkat ini, kita tidak boleh lagi menawarkan pakej francais secara rasmi kerana perlu mematuhi Akta Francais. Apa yang kita lakukan hari ini adalah untuk memberi gambaran jelas bahawa Glocal Travel sedang bersedia ke arah itu, dengan sistem yang telah dibangunkan secara menyeluruh dan teratur," katanya.

Pelancaran ini hadir susulan kejayaan Glocal Travel menamatkan Program Pembangunan Pernas Xcelerator, sebuah inisiatif intensif yang membantu syarikat tempatan berpotensi tinggi membina asas kukuh untuk berkembang sebagai perniagaan francais.

Setiap francaisi yang bakal menyertai rangkaian Glocal Travel diwajibkan menggunakan jenama yang sama, mengikut SOP yang seragam serta tertakluk kepada pemantauan berterusan di bawah rangka kerja yang dilindungi oleh Akta Francais.

Antara pembaharuan utama yang diperkenalkan ialah sistem pembayaran berpusat, di mana semua transaksi akan disalurkan ke satu akaun utama bagi mengelakkan ketirisan dan memastikan keselamatan dana jemaah. Pada masa sama, syarikat turut mengamalkan strategi tempahan awal dengan mengikat kontrak bersama syarikat penerbangan dan hotel di Mekah serta Madinah sehingga setahun lebih awal.

Model francais ini juga membuka peluang luas kepada usahawan tempatan untuk menceburi industri pelancongan Islam tanpa perlu menanggung beban kos permulaan yang tinggi — francaisi hanya perlu memberi fokus kepada pemasaran dan jualan, manakala aspek operasi, logistik dan pengurusan dikendalikan sepenuhnya oleh Glocal Travel.

Sebagai langkah ke hadapan, Glocal Travel menyasarkan untuk mengembangkan rangkaian kepada sekurang-kurangnya 50 cawangan francais dalam tempoh tahun pertama selepas pelancaran rasmi, berasaskan kekuatan 13 cawangan sedia ada di seluruh negara.

Dari sudut prestasi, Glocal Travel berjaya menggandakan jumlah jemaah daripada 78 orang pada tahun pertama kepada 150 orang pada tahun kedua. Bagi musim haji akan datang, syarikat dijangka mengendalikan lima penerbangan bermula 1 Mei.

"Kita memilih untuk berkembang secara 'slow and steady'. Dalam industri ini, kepercayaan adalah segalanya. Jadi kita perlu memastikan setiap jemaah mendapat pengalaman terbaik sebelum kita bergerak lebih besar," kata Dato' Hj Md Idzham.

Sumber asal: Suara.TV — suara.tv

— Suara.TV